- Hits: 10
SINOPSIS PROGRAM
Program Sijil Teknologi Pemprosesan Makanan (SPK) merupakan program sepenuh masa peringkat sijil yang ditawarkan selama dua tahun, iaitu tiga semester pengajian dan satu semester latihan industri. Program ini dibentuk untuk memenuhi keperluan industri, tenaga pengajar dan pihak yang bertanggungjawab dalam perkembangan sektor pekerjaan kerana sektor ini memberi pulangan yang besar dalam perkembangan industri negara. Sektor pemprosesan makanan menyumbang kira-kira 10% daripada pengeluaran di perkilangan Malaysia. Dua pertiga daripada RM18 bilion nilai jumlah keseluruhan eksport makanan adalah terdiri daripada makanan yang diproses yang dieksport ke lebih daripada 200 buah negara dengan nilai eksport tahunan lebih daripada RM11 bilion. Walau bagaimanapun, Malaysia masih lagi menjadi pengimport bersih produk makanan dengan import tahunan melebihi RM75.6 billion pada tahun 2022 berbanding eksport bernilai RM44.6 bilion, berdasarkan data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Inisiatif jaminan bekalan makanan yang produktif, selamat dan ditumpukan melalui usaha seperti Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (2021-2025) dan Dasar Agromakanan Negara. Dasar tersebut turut menekankan peluasan penggunaan teknologi, pemerkasaan kajian dan penyelidikan, pemerkasaan data sekuriti makanan, peluasan kolaborasi strategik serta pengukuhan governans jabatan dan agensi. Selain itu, Dasar Keusahawaan Nasional 2030 yang menyokong pemikiran masyarakat yang berbudaya usahawan juga menjadi pemangkin inisiatif melahirkan latihan berunsurkan keusahawanan makanan. Perkembangan industri makanan yang sangat memberangsangkan memerlukan pekerja separa mahir yang arif dengan pemprosesan.
Sijil Teknologi Pemprosesan Makanan direka bentuk bagi mendedahkan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan oleh industri dalam menjadi pekerja separa mahir. Program ini meliputi kemahiran dalam bidang sains dan teknologi makanan, kawalan mutu makanan, pembungkusan makanan serta keusahawanan. Program yang ditawarkan ini sejajar dengan Akta Makanan 1983, Peraturan-peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-peraturan Makanan 2009 yang sedang berkuatkuasa.
MATLAMAT PROGRAM
Program ini mensasarkan graduan yang berupaya untuk memikul tanggungjawab, berfikiran kreatif dan inovatif sebagai tenaga separa mahir yang kompeten di dalam teknologi pemprosesan makanan bagi memastikan produk makanan negara berkualiti serta selamat untuk meningkatkan pendapatan negara.