- Hits: 1313
Ts. Welzan Saimon
Pengarah Kolej Komuniti Lahad Datu
Salam Hormat dan Salam Sejahtera,
Selamat datang ke laman web rasmi Kolej Komuniti Lahad Datu. Tahun 2024 adalah lembaran baharu kepada saya sebagai Pengarah Kolej Komuniti Lahad Datu, dengan tekad dan azam untuk mencipta kegemilangan KKLD! Pertamanya, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi tahniah kepada warga kerja Kolej Komuniti Lahad Datu yang telah bertungkus lumus bersama-sama menggembleng tenaga dalam memastikan pengoperasian KKLD sentiasa berada pada tahap maksimum sehingga dapat mencipta pelbagai kejayaan cemerlang. Komitmen, kesungguhan dan kerjasama yang dicurahkan amat saya hargai. Inilah gabungan yang menerbitkan kejayaan KKLD sehingga ke detik ini.
Saya amat menyeru pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya di daerah Lahad Datu dan Malaysia amnya untuk menjadi warga Kolej Komuniti Lahad Datu dengan mengikuti program pengajian sepenuh masa iaitu Sijil Teknologi Pemprosesan Makanan (SPK) yang ditawarkan. Bagi Masyarakat daerah Lahad Datu yang berminat mengikuti program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) melalui pelbagai kursus pendek yang ditawarkan, pengunjung juga boleh melayari laman web ini untuk mendapatkan pelbagai maklumat lanjut dan terkini berkenaan program pembelajaran sepanjang hayat.
Selaras dengan reformasi ekosistem TVET, Kolej Komuniti Lahad Datu yakin dan bersedia membantu pelajar berdaya saing ke arah alam pekerjaan sebenar. Ini terbukti apabila kadar kebolehpasaran graduan bagi Kolej Komuniti Lahad Datu tiga tahun kebelakang ini adalah mencapai 100%. Justeru, besarlah harapan saya dan seluruh warga Kolej Komuniti Lahad Datu untuk melahirkan modal insan yang holistik dan berdaya maju seiring dengan perkembangan industri semasa yang semakin kedepan.
Kepada para pelajar KKLD, tuntutlah ilmu dengan bersungguh-sungguh supaya kalian beroleh kekayaan ilmu. Saya petik kata-kata tokoh pemimpin dunia iaitu Nelson Mandela, “Pendidikan adalah senjata paling kuat yang boleh anda gunakan untuk mengubah dunia”. Buat para ibu-bapa, terima kasih kerana memberi kepercayaan penuh kepada KKLD untuk mempersiapkan anak-anak tuan-tuan dan puan-puan dengan bekalan intelek demi masa depan keluarga. Saya juga ingin menitipkan sekalung penghargaan kepada pemain industri yang sentiasa menyambut baik usaha KKLD dalam menjalinkan kolaborasi strategik, sumbangan dan perkongsian pintar antara dunia akademik dan industri sebenar dalam usaha meningkatkan keberkesanan KKLD kepada industri.
Terima kasih kepada semua pemegang taruh dalam menyokong dan mendokong visi dan misi Kolej Komuniti Lahad Datu.
Pokok kelapa tumbuh berjajar
Buahnya lebat pohonnya tinggi
Ilmu pengetahuan perlu dikejar
Ibarat mendaki gunung yang tinggi
Sekian, terima kasih.